Wednesday, November 30, 2011

NETAJI SUBHAS CHANDRA BOSE

Sejarah perjuangan kemerdekaan negara India adalah sesuatu yang unik dan berbeza sekiranya dibandingkan dengan perjuangan kemerdekaan di negara-negara Asia yang lain. Kemerdekaan India yang dicapai pada 15 Ogos 1947  bukan sahaja hasil usaha daripada perjuangan nasionalis-nasionalis dalam negara India seperti Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru dan lain-lain. Akan tetapi, turut melibatkan perjuangan Subhas Chandra Bose dari luar negara India. Keunikan perjuangan nasionalis-nasionalis India turut dapat dilihat melalui pergerakan-pergerakan pembebasan India daripada belenggu British yang diadakan oleh nasionalis-nasionalis India dari luar India iaitu di Asia sebelum era perang dunia kedua.

Subhas Chandra Bose merupakan pemimpin revolusioner yang muncul pada era kontemporari India iaitu ketika era penglibatan Mahatma Gandhi secara aktif dalam politik India. Beliau lebih dikenali sebagai “Netaji Subhas Chandra Bose”.
Beliau dikategorikan sebagai seorang pemimpin yang ekstremis dan hal ini dapat dibuktikan melalui pemikiran politik yang diperjuangkan oleh Netaji ke arah pencapaian kemerdekaan India secara sepenuhnya. Semangat patriotik dan nasionalisme yang begitu membara dalam jiwa Netaji telah mendorong beliau melibatkan diri secara aktif dalam arena politik serta perjuangannya dalam usaha membebaskan India daripada belenggu British memang tidak dapat dinafikan. Pengorbanan beliau semata-mata untuk tanah airnya dapat dibuktikan dengan kesanggupan beliau melancarkan gerakan-gerakan secara radikal sehingga beliau dipenjarakan sebanyak 11 kali. Tambahan, Netaji tergolong dalam kalangan pemimpin-pemimpin nasionalis ekstrim seperti Tilak dan Lala Rajpat Rai yang menjadi buruan kerajaan British. Netaji Subhas Chandra Bose juga merupakan pemimpin India serta Presiden Kongres yang begitu penting. Malahan, beliau dipercayai telah membesar dalam era kebangkitan naionalisme di India dan ianya telah mempengaruhi pemikiran dan ideologi politiknya selain daripada pengaruh  Swami Vivekananda




2.0 LATARBELAKANG KEPIMPINAN

Era antara tahun 1920 hingga 1947 merupakan era yang penting dalam sejarah kebangkitan nasionalisme negara India. Sepanjang era ini terdapat beberapa pemimpin seperti Mahatma Gandhi, Deshbandhu Chittaranjan Das atau lebih dikenali sebagai C.R.Das, Jawaharlal Nehru, dan  Maulana Abdul Kalam Azad memainkan peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam usaha mencapai kemerdekaan India mengikut pemikiran politik dan perspektif masing-masing. Selain itu juga, pemimpin revolusioner iaitu Netaji Subhas Chandra Bose telah muncul pada era tersebut. Perjuangan beliau telah bermula sejak beliau meletak jawatannya dalam ICS pada 18 Mei 1921sehingga kehilangan beliau dalam nahas kapal terbang pada tahun 1945.

Perjuangan Netaji Subhas Chandra Bose selama 25 tahun menunjukkan kewibawaan serta boleh mengkategorikan beliau sebagai pemimpin antarabangsa. Kepimpinan Netaji Subhas Chandra Bose begitu menyerlah dan beliau dikategorikan sebagai seorang pemimpin sosialis yang radikal berdasarkan pemikiran politik yang diperjuangkan oleh beliau sepanjang kehidupannya dalam arena politik. Buktinya Ahmad Boestaman sendiri menyatakan bahawa beliau begitu terharu dengan kepimpinan Netaji di Asia dan melabelkan Netaji sebagai pemimpin radikal serta menyerupai kepimpinan Soekarno iaitu pemimpin Indonesia. Oleh demikian, latar belakang kepimpinan politik Netaji dapat dilihat berdasarkan 2 peringkat iaitu perjuangannya dalam India dan luar negara. Selain itu, perjuangan beliau di India dapat dibahagikan kepada dua peringkat iaitu dari tahun 1921 sehingga 1931 serta selepas Netaji pulang dari Eropah iaitu dari tahun 1936 dan seterusnya. Selain itu, kepimpinan beliau di India, Jerman, dan Asia akan menjelaskan teori kepimpinan sosialis yang dipraktikkan oleh Netaji.

Benode C.Chowdhuri dalam karyanya “Evolution of Netaji” mengkategorikan jangkamasa sehingga tahun 1927 sebagai era perkembangan dan pembentukan diri Netaji Subhas Chandra Bose dalam arena politik. Sepanjang jangkamasa tersebut, beliau dipercayai mendapat pendedahan yang luas serta banyak mempelajari susur galur perkembangan politik India di bawah kepimpinan C.R.Das. Manakala, Netaji dikatakan  mengaplikasikan segala ilmu yang diperolehi daripada C.R.Das selepas dibebaskan daripada Penjara Mandalay, Burma. Apabila mengimbas kembali latarbelakang kepimpinan politik Netaji Subhas Chandra Bose, beliau telah mula terlibat dalam arena politik di bawah kepimpinan C.R.Das pada tahun 1921. Tahun 1921 merupakan era yang begitu genting dalam sejarah kemerdekaan India kerana Mahatma Gandhi telah mula melaksanakan gerakan non-cooperation dalam parti Kongres Kebangsaan India (KKI) atau Indian National Congress (INC) sebagai usaha membentuk kerajaan sendiri di India. Pelaksanaan gerakan non-cooperation turut boleh diklasifikasikan sebagai faktor lain mendorong Netaji meletak jawatannya dalam ICS.

Setelah meletak jawatan dalam ICS, Netaji telah berjumpa dengan Mahatma Gandhi pada 16 Julai 1921 di Mumbai (Bombay) bagi membincangkan kesudian beliau untuk terlibat dalam politik dan menyatakan keinginannya untuk memberikan sumbangan dalam usaha mendapatkan kemerdekaan India. Tambahan, Netaji turut mengadakan perjumpaan dengan Gandhiji bertujuan untuk mendapatkan nasihat berkenaan dengan aktiviti-aktiviti politik yang akan diadakan pada masa hadapan. Malahan, perbezaan haluan dan falsafah antara Mahatma Gandhi telah dirasai oleh Netaji Subhas Chandra Bose setelah mendapat maklumbalas terhadap tiga persoalan yang dikemukakan oleh beliau kepada Gandhiji.

Netaji tidak begitu puas hati dan mendapati falsafah kepimpinan Mahatma Gandhi tidak akan memberikan implikasi positif dalam usaha mencapai kemerdekan India.

Mahatma Gandhi telah menghantar Subhas Chandra Bose supaya melaporkan dirinya di bawah kepimpinan C.R.Das. Maka pada pertengahan bulan Julai 1921, Netaji telah berjumpa dan melaporkan dirinya di bawah kepimpinan C.R.Das Penglibatan Netaji Subhas Chandra Bose di bawah kepimpinan C.R.Das merupakan permulaan kepada beliau dalam arena politik. Ciri-ciri kepimpinan C.R.Das begitu mengkagumkan Netaji sehingga beliau menjadi pengikut yang begitu setia. Buktinya, Sitanshu Das dalam karyanya Subhas:a political biography  menyatakan C.R.Das sebagai penasihat politik atau  political mentor  kepada Subhas Chandra Bose pada peringkat awal.

Pada peringkat awal, C.R.Das selaku Presiden Bengal Provincial Congress Committee (B.P.C.C) telah melantik Netaji Subhas Chandra Bose  sebagai  Pengetua bagi Kolej Kebangsaan atau National College di Calcuttaserta selaku setiausaha dalam   Jabatan Publisiti Manakala, C.R.Das turut memberikan Netaji tanggungjawab mengetuai National Volunteer Corp (NVC)  pada bulan November 1921 Antara ketiga-tiga jawatan tersebut, kedudukan Netaji sebagai setiausaha bahagian publisiti dalam B.P.C.C dan ketua NVC merupakan jawatan yang paling penting dan melibatkan tanggungjawab yang berat. Kepimpinan Netaji sebagai setiausaha dalam bahagian publisiti B.P.C.C dapat menunjukkan pemikiran politiknya yang terbuka dan ekstrim. Selain itu, kesanggupan C.R.Das memberikan tanggungjawab penting kepada Netaji  yang tidak memiliki sebarang pengalaman memimpin dalam bidang politik membuktikan keyakinan  dan kepercayaan yang tinggi terhadap kebolehan Subhas Chandra Bose. Keyakinan ini muncul dalam diri C.R.Das setelah melihat semangat Subhas Chandra Bose yang begitu tinggi dalam memberikan khidmatnya bagi negara India dan masyarakatnya. C.R.Das telah menyedari keikhlasan dan kesanggupan Subhas Chandra Bose melalui surat yang dihantar oleh beliau ketika bekerja dalam ICS kepada C.R.Das. Walaubagaimanapun, tindakan C.R.Das memberikan Subhas Chandra tanggungjawab yang besar telah mewujudkan ketidakpuasan di kalangan ahli-ahli dalam B.P.C.C terutamanya pengikut-pengikut ortodoks Mahatma Gandhi.

Prasangka ahli-ahli B.P.C.C terhadap Netaji telah diatasi  melalui kecekapan kepimpinan yang diamalkan serta diaplikasikan oleh beliau. Misalnya, Netaji yang dilantik sebagai Pengetua Kolej Kebangsaan  pada tahun 1921 dipercayai mengendalikannya secara sistematik dan cekap Kolej Kebangsaan ini telah ditubuhkan oleh C.R.Das di Calcutta dan Dacca berdasarkan polisi gerakan non-cooperation yang diperjuangkan oleh Mahatma Gandhi. Maka, Netaji selaku Pengetua kolej tersebut telah bertindak mengimplementasikan pelajaran-pelajaran yang berunsur nasionalisme dan pengorbanan di kalangan pelajar-pelajar Pendek kata, Netaji tidak hanya menitikberatkan kepada perkembangan pendidikan dan intelektual seseorang pelajar. Manakala, Netaji berusaha menyebarkan dan berkongsi segala ilmu yang diperolehinya di Cambridge. Tujuan utama Netaji adalah menanam semangat nasionlisme dalam jiwa setiap individu terutamanya dalam diri setiap kaum muda yang akan memimpin India di masa hadapan.

Kepimpinan Netaji Subhas Chandra Bose sebagai setiausaha dalam Jabatan Propaganda dan Publisiti B.P.C.C tidak menghampakan keyakinan dan kepercayaan C.R.Das. Perlantikan Netaji boleh diklasifikasikan sebagai tepat pada waktunya. Hal ini kerana, Netaji mula melibatkan diri dalam Kongres ketika pelaksanaan gerakan non-cooperation. Oleh itu, Netaji bertanggungjawab dalam mengadakan propaganda-propaganda yang berkaitan dengan gerakan non-coopertaion. Keberanian Netaji menentang kuasa imperialis dapat dibuktikan ketika era tersebut. Misalnya, Netaji Subhas Chandra Bose  memainkan peranan  penting dalam suatu hartal atau permogokan yang diadakan oleh kongres sebagai tanda boikot terhadap pihak British pada 25 Disember 1921 di Calcutta.

Pada permulaannya, Hartal atau mogok telah diadakan pada bulan November 1921  dan  merupakan sebahagian daripada gerakan non-cooperation yang diperjuangkan oleh Mahatma Gandhi. Tujuan utama hartal ini sebagai amaran kepada pihak British bahawa masyarakat India dan KKI memboikot segala urusan rasmi atau separuh rasmi kerajaan British Raj. Oleh demikian, lawatan Prince of Wales ke Mumbai pada 13 November 1921 telah ditentang dengan mengadakan hartal iaitu dengan melaungkan bendera hitam serta segala perniagaan ditutupManakala, hartal yang diadakan sempena lawatan Prince of Wales ke Calcutta diketuai oleh Netaji Subhas Chandra Bose. C.R.Das telah membentuk NVC iaitu sebuah pasukan yang bertanggungjawab dalam melancarkan hartal tersebut. Malahan, Netaji dilantik sebagai ketua atau komander dalam NVC tersebut. Pendek kata, kemahiran Netaji mengorganisasi dan kebolehan beliau mengadakan latihan-latihan secara disiplin di bawah University Infantry Corps (UIC) mendorong C.R.Das melantik Netaji mengetuai  NVC.















3.0  PEMBAHARUAN-PEMBAHARUAN YANG DIBAWA OLEH SUBASH  
       CHANDRA BOSE


3.1 Penubuhan Free India Provisional  Government  (FIPG)

Penubuhan FIPG atau Kerajaan Sementara Merdeka India secara rasmi pada 21 Oktober 1943 oleh Netaji Subhas Chandra Bose merupakan sumbangan penting Netaji dalam gerakan kemerdekaan India di Asia. Kejayaan penubuhan FIPG  merupakan hasil daripada usaha-usaha yang diambil oleh Netaji selama 2 bulan iaitu sejak kedatangannya ke Asia Tenggara iaitu Singapura pada 2 Julai 1943. Netaji Subhas Chandra Bose telah mengambil beberapa strategi dalam usaha membentuk FIPG iaitu sebuah kerajaan sementara yang berkuasa mengisytiharkan peperangan menentang kuasa imperialis serta bertujuan mendapat perhatian daripada kerajaan Nippon dan sekutu-sekutunya diperingkat antarabangsa. Antara pembaharuan-pembaharuan yang dibawa oleh beliau bagi merealisasikan hasratnya ialah pengorganisasian semula LKI(Pengorganisasian Semula Parti Liga Kemerekaan India) dan TKI(Pengorganisasian Semula Tentera Kebangsaan India). Selain itu,  Netaji Subhas Chandra Bose turut menyatakan bahawa terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan olehnya sebagai usaha ke arah pembentukan FIPG yang merupakan perjuangan terakhir masyarakat India di Asia bagi pembebasan tanah air mereka. Strategi-strategi beliau adalah penglibatannya dalam persidangan Asia Tenggara yang dihadiri oleh enam negara Asia dan perjumpaannya dengan Perdana Menteri Tojo serta wakil-wakil yang lain. Antara agenda penting yang dibincangkan dalam perjumpaan ini adalah mengenai perkembangan perjuangan kemerdekaan India dan operasi penentangan kuasa imperialis di Asia  khususnya India.

Penyatuan dan kerjasama antara masyarakat India juga penting dalam usaha mencapai objektif utama FIPG. Terdapat dua slogan yang diperjuangkan dalam FIPG yang dapat menentukan pembebasan India. Antaranya, ialah slogan Chalo Delhi atau Onwards To Delhi dan Total Mobilization. Kedua-dua slogan ini bermaksud menyediakan masyarakat India bagi menampung tenaga tentera untuk menentang kuasa imperialis serta mewujudkan perasaan cinta akan tanah air mereka. Selain itu, slogan Onwards To Delhi dipercayai dapat mewujudkan perasaan kerjasama atau penyatuan antara masyarakat India di Asia dengan masyarakat di India yang memperjuangkan semangat patriotik dan matlamat yang sama.

Netaji turut membentuk organisasi pentadbiran FIPG ini secara sistematik bagi melancarkan perjalanan pentadbirannya, termasuk organisasi LKI dan TKI. Selain itu, pengorganisasian semula LKI dan TKI oleh Netaji turut melancarkan perkembangan revolusi pembebasan India. Kewibawaan Netaji mengorganisasi semula LKI dan TKI secara sistematik yang menjurus kepada penubuhan FIPG telah mewujudkan keyakinan kepada kerajaan Nippon terhadap keupayaan nasionalis India. Dengan itu, kerajaan Nippon telah mengiktraf FIPG selepas melihat kebijaksanaan dan kepimpinan Netaji dalam pengaturan organisasi FIPG. Pentadbiran Organisasi yang sistematik telah mewujudkan keyakinan dan melahirkan pandangan positif terhadap gerakan kemerdekaan India yang diperjuangkan oleh TKI. Lantaran itu, FIPG telah mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada negara-negara selain daripada kerajaan Nippon iaitu, Kerajaan Manchukuo, Jerman, China, Burma, Filipina, Croatia.

Pengiktirafan FIPG oleh kerajaan Jepun dan negara-negara sekutunya telah memperkukuhkan kedudukan FIPG di peringkat antarabangsa. Selain itu, usaha-usaha Netaji yang diambil sejak dari kedatangannya ke Asia iaitu pengorganisasian semula LKI(Pengorganisasian Semula Parti Liga Kemerekaan India) dan TKI(Pengorganisasian Semula Tentera Kebangsaan India) turut merupakan faktor dominan kepada kejayaan Netaji membentuk FIPG. Namun demikian, terdapat juga usaha-usaha lain diambil oleh Netaji untuk mencapai objektif FIPG iaitu pengisytiharan perjuangan yang akhir menentang kuasa British dan Anglo-Amerika.


3.2 Pengorganisasian Semula Parti Liga Kemerekaan India (LKI)

Pengorganisasian semula LKI dan TKI merupakan usaha-usaha yang diambil oleh Netaji apabila Perdana Menteri Tojo memberikan kebenaran kepada Netaji untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya ke arah pembentukan FIPG ketika perjumpaan mereka selepas persidangan khas yang diadakan antara Perdana Menteri Tojo dengan Field.Marshall.Terauchi. Dalam usaha memperkukuhkan kedudukan TKI, Netaji telah mengorganisasi semula LKI yang merupakan badan politik yang berperanan mengawasi TKI. Pendek kata, LKI diorganisasi secara sistematik supaya dapat memperkukuhkan TKI. Netaji Subhas Chandra Bose telah dilantik sebagai Presiden LKI oleh Rash Behari Bose pada 5 Julai 1943 dalam perhimpunan umum yang diadakan di bangunan lama pawagam Cathay (Dao Toa Gekijo), Singapura sempena kehadiran Subhas Chandra Bose ke Asia Tenggara.

Antara langkah pertama yang diambil oleh Netaji untuk memperkukuhkan dan mengiktiraf FIPG ialah mewujudkan organisasi pentadbiran LKI secara teratur dan sistematik. Pada mulanya, Netaji telah meluaskan jabatan-jabatan yang sedia ada dan memperkenalkan pelbagai jabatan baru yang bermotifkan kejayaan seperti Birokrasi, Ketenteran, Jabatan Pendidikan dan kebudayaan, Jabatan Perancangan, Jabatan Pengorganisasian Wanita,  Jabatan Publisiti dan Propaganda, Jabatan Perekrutan, Jabatan Setiausaha, Jabatan Am, Jabatan Kewangan, Jabatan pengambilan Tentera dan Latihan, Jabatan Kesihatan dan Kebajikan dan jabatan-jabatan yang lain  Pegawai-pegawai yang dilantik adalah berdasarkan pencapaian pendidikan mereka. Selain itu, Netaji telah mewujudkan pengkhususan jawatan serta pengambilan pegawai-pegawai yang berpendidikan. Tambahan, dengan menyedari dan memahami kepentingan pegawai-pegawai yang berpendidikan, Bose telah melantik pegawai-pegawai yang intelektual dan berkaliber. Contohnya, Netaji telah berusaha mengorganisasi semula ibu pejabat IIL yang bertapak di 19 Chancery Lane bagi tujuan melancarkan perjalanan pentadbiran secara sistematik dan baik.


3.3  Pengorganisasian Semula Tentera Kebangsaan India (TKI)

Pengorganisasian semula TKI yang ditinggalkan oleh Kapten Mohen Singh merupakan antara usaha Netaji ke arah mencapai matlamatnya dalam FIPG yang bertanggungjawab mewakili revolusi pembebasan negara India. Netaji Subhas Chandra Bose telah mengambil tampok pemerintahan sebagai Ketua Komander TKI atau Panglima Tertinggi TKI pada 25 Julai 1943.  Pengambilalihan pemerintahan TKI oleh Subhas Chandra Bose mempunyai kepentingan dan motifnya tersendiri. Pendek kata, pengambilalihan tampok pemerintahan TKI merupakan strategi beliau mewujudkan kerjasama dan penyatuan antara LKI dan TKI yang memperjuangkan objektif yang sama.

Pengambilalihan pemerintahan TKI merupakan permulaan kepada usaha Netaji membentuk sebuah badan ketenteraan India yang setanding dengan kuasa British dan Amerika Syarikat. TKI merupakan sebuah badan ketenteraan yang mewakili tentera-tentera yang melalui latihan-latihan teknikal dan moral, badan ketenteraan yang sempurna iaitu memiliki segala keperluan dari aspek kekuatan fizikal, persenjataan dan diorganisasi secara sistematik. Manakala, Netaji menjadikan TKI yang hanya berfungsi sebagai agen propaganda Jepun kepada sebuah badan ketenteraan yang dapat berjuang menentang kuasa imperialis di medan peperangan. Tambahan pula, Netaji turut menyatakan bahawa TKI sebagai badan ketenteraan yang mewakili beribu-ribu masyarakat India daripada pelbagai latar belakang politik, kebudayaan, keagamaan dan kasta yang melalui latihan ketenteraan dengan cekal bagi mencapai matlamat yang sama iaitu berjuang secara total bagi memperolehi kemerdekaan India.

Netaji Subhas Chandra Bose dipercayai begitu tegas dalam pentadbirannya khususnya dalam urusan merekrut tentera-tentera. Buktinya, selain daripada mewajibkan  semua masyarakat India di Asia menyalurkan bantuan, beliau turut mewajibkan golongan kurang upaya iaitu golongan yang tidak mampu melibatkan diri dalam bidang ketenteraan menyumbangkan bantuan mengikut kemampuan mereka.  Selain itu, Netaji telah membentuk pusat latihan secara separuh masa kepada segelintir sukarelawan yang tidak dapat mengorbankan pekerjaan profesional mereka.  Penubuhan pusat latihan secara separuh masa menunjukkan strategi Netaji menarik masyarakat awam supaya melibatkan diri dalam TKI. Walaupun begitu, Netaji mewajibkan semua golongan muda memasuki TKI bagi menampung kekurangan tenaga tentera. Beliau telah menetapkan beberapa kriteria yang melayakkan  seseorang individu menjadi tentera TKI. Sebab utama yang mendorong Netaji menambahkan saiz TKI sehingga membentuk barisan ketenteraan kedua adalah disebabkan kekurangan dalam jumlah bilangan tentera-tentera yang sedia ada. Selain itu, Netaji telah merancang untuk menambahkan bilangan tentera TKI kepada 50 000 orang sebagai pasukan tentera yang kuat dan setanding dengan pasukan tentera British. Menurut Netaji, sebanyak 30 000 tentera diagih-agihkan kepada 3 bahagian iaitu kepada 3 pasukan tentera yang mewakili 10 000 orang. Manakala, 20 000 orang lagi adalah daripada sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam. Apabila diimbas kembali pada era pentadbiran Kapten Mohan Singh, bilangan tawanan perang dan bekas tentera British-India yang memasuki TKI secara sukaralewan adalah hanya sebahagian daripada jumlah keseluruhan yang menyerah diri kepada Major Fujiwara pada Februari 1942 iaitu sebanyak 50000 tawanan. Jumlah tersebut mengalami pengurangan yang drastik akibat daripada konflik yang wujud menjelang era kepimpinan Kapten Mohan Singh iaitu berkurangan sehingga 13000 tentera sahaja. Jumlah bilangan tentera ini tidak mengembirakan dan memuaskan Netaji. Menurut Netaji, bilangan tentera TKI yang begitu kecil tidak mampu menandingi pasukan ketenteraan British dan Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, pengalaman  dan pendedahan yang diperolehi oleh Netaji di Jerman telah dijadikan sebagai garis pengukur untuk membentuk TKI.
Dalam usaha membesarkan saiz TKI, Netaji buat pertama kali telah membentuk barisan ketenteraan yang diwakili oleh golongan wanita. Barisan ketenteraan ini dikenali sebagai Regimen Jhansi Rani atau Rani of Janshi Regiment dan diperkenalkan secara rasminya pada 22 Oktober 1943 iaitu sehari selepas pengisytiharan FIPG. Penubuhan pasukan ketenteraan wanita ini jelas membuktikan kepimpinan Netaji yang begitu terbuka dan kearah modenisasi. Misalnya, Netaji menyatakan bahawa kaum wanita diberikan tempat dalam pentadbiran FIPG dan dilatih sebagai tentera-tentera merupakan sebagai suatu revolusi atau perubahan kepada modenisasi dalam satu temuramah. Selain itu, pembentukan Regimen Jhansi Rani juga mendapat bantahan dan tidak disetujui oleh pihak Jepun. Walaubagaimanapun, Netaji tidak mengendahkan tentangan kerajaan Nippon dan menubuhkan pasukan tersebut.  Apabila diimbas kembali ketika TKI pertama, kaum wanita tidak mempunyai peranan yang begitu penting. Misalnya, kaum wanita hanya berperanan dalam memberikan dorongan dan sokongan moral kepada kaum lelaki daripada ahli keluarganya untuk melibatkan diri dalam perjuangan menentang kuasa imperialis. Malah,  kaum ibu bertanggungjawab mendidik dan menyemai semangat patriotik dalam diri anak-anak mereka supaya menyedari kepentingan kemerdekaan India pada masa hadapan. Dapat diklasifikasikan bahawa peranan dan tanggungjawab wanita ketika era Netaji adalah jauh lebih berbeza. Boleh dinyatakan bahawa Netaji cuba mengunakan segala tenaga manusia sebagai tentera bagi mengukuhkan TKI dan menghadapi kuasa imperialis.
Pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh Netaji telah memesatkan perkembangan perjuangan kemerdekaan India di Asia Tenggara. Tambahan, strategi-strategi yang diambil oleh Netaji turut mendorong pengiktirafan kerajaan Nippon ke atas Pulau Andaman dan Nicobar sebagai kawasan kerajaan FIPG. Pulau Andaman dan Nicobar merupakan pengkalan penting British di kawasan India. Manakala, Jepun telah berjaya menewaskan pasukan tentera British dan menakluki kedua-dua Pulau tersebut. Maka, Perdana Menteri Tojo telah mengiktiraf kedua-dua pulau tersebut sebagai kawasan FIPG sebagai tanda keikhlasan pihak Jepun membantu gerakan kemerdekaan India.
Usaha beliau mengorganisasi semula LKI dan membesarkan saiz TKI merupakan antara usaha beliau yang paling penting kepada pembentukan FIPG. Kejayaan Netaji menubuhkan FIPG dan mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Nippon dan negara-negara sekutunya merupakan kemuncak kepada perjuangan nasionalis-nasionalis India. Hal ini kerana, Netaji telah mengisytiharkan peperangan terhadap kuasa British selepas penubuhan FIPG. Di mana Netaji mengumumkan bahawa TKI telah bersedia untuk berhadapan dengan kuasa imperialis. Pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh Netaji telah menghidupkan semula TKI pertama sebagai sebuah badan ketenteraan yang revolusi.

4.0 KESIMPULAN


Krisis-krisis yang timbul sepanjang perkembangan TKI pertama memberikan implikasi negatif kepada gerakan kemerdekaan India. Walaubagaimanapun, kedatangan Subhas Chandra Bose ke Asia telah melahirkan harapan cerah bagi India mencapai kemerdekaannya. Penyerahan kuasa kepimpinan dalam TKI dan LKI oleh Rash Behari Bose  kepada Subhas Chandra Bose secara rasmi pada tahun 1943 merupakan titik peralihan bagi TKI pertama yang hanya berperanan sebagai boneka sahaja. Kepimpinan beliau dalam TKI kedua dikatakan begitu unik serta mempunyai implikasinya kepada kemerdekaan India. Subhas Chandra Bose atau yang lebih dikenali sebagai Netaji mempunyai kewibawaan dan  ianya dapat dibuktikan melalui kepimpinannya sepanjang tahun 1943 sehingga 1945. Kewibawaan serta pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh Netaji yang mendorong kepesatan pergerakan kemerdekaan India di Asia Tenggara. Selain itu, keunikan dalam pemikiran politik dan kepimpinannya dapat dibuktikan dengan jelas melalui kepimpinan beliau sebelum mengambil alih TKI.

Kematian Netaji Subhas Chandra Bose telah mengemparkan seluruh India. Sumbangan beliau dalam arena politik memang tidak dapat dinafikan . Manakala, perjuangan  beliau di Asia merupakan perjuangan terakhir Netaji dalam kehidupannya. Setelah Netaji meninggal dunia, pegawai-pegawai tertinggi TKI diberkas oleh pihak British dan mengadakan perbicaraan di Red Fort, Delhi sejak 5 November 1945 hingga 31 Disember 1945. Perbicaraan ke atas ketiga-tiga pegawai tertinggi ini merupakan kesilapan kerajaan British yang paling besar. Masyarakat India di Bengal dan Delhi telah mula memberontak dengan mengadakan perarakan-perarakan supaya pihak British membebaskan semua pegawai dan tentera-tentera British. Reaksi  masyarakat di India jelas membuktikan bahawa Netaji Subhas Chandra disanjung tinggi. Kepimpinan Netaji Subhas Chandra Bose dalam TKI telah memberikan beberapa kesan secara langsung dan tidak langsung kepada masyarakat dan kemerdekaan negara India. Netaji telah hidup untuk India dan mati untuk kemerdekaan India.

Pendek kata, perjuangan Netaji Subhas Chandra Bose sehingga ke akhir hayatnya memang berbaloi dan membuahkan hasil serta mewujudkan kesedaran patriotik yang tinggi di kalangan masyarakat India.

No comments:

Post a Comment